MENGAPA PERLUNYA MATLAMAT?

Kajian di institusi pengajian tinggi menunjukkan 80 peratus pelajar tidak bermatlamat dan ini adalah punca utama pelajar Melayu gagal bersaing. Menyedihkan tetapi itulah hakikatnya.



Matlamat memudahkan perancangan

Sekiranya anda ada matlamat, maknanya anda pun menetapkan apa yang mahu dicapai dalam suatu tempoh tertentu. Ini pastinya memudahkan anda merancang tugasan anda setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan.




Matlamat meningkatkan komitmen diri

Secara tidak langsung, apabila anda mempunyai matlamat, anda berasakan komitmen perlu diambil bagi memenuhinya. Apabila anda lalai bagi mengikut setiap perancangan yang dijadualkan bermakna anda menggadaikan masa depan anda sendiri. Ingatlah, manusia yang berjaya adalah manusia yang mempunyai komitmen yang tinggi pada senarai tugas ataupun perancangan hariannya.



Matlamat membantu anda membuat keputusan

Dalam kehidupan seharian, anda pasti menyedari betapa sukarnya bagi mendisiplinkan diri mengikut jadual harian dan jadual belajar anda. Mengapa ini berlaku? Jawapannya kerana manusia bukannya robot dan mesin yang dapat dijadualkan berfungsi mengikut masa-masa yang ditetapkan setiap hari. Tetapi dengan adanya matlamat, anda dapat mengubah perancangan harian pada bila-bila masa asalkan ia tidak meninggalkan kesan ke atas perancangan jangka panjang anda. Pastikan jadual belajar anda itu adalah jadual belajar anjal yang dapat disesuaikan mengikut keperluan masa anda.




Matlamat membantu anda mendapatkan pertolongan

Apabila anda mempunyai matlamat, anda mula mengatur perancangan. Apabila anda bertindak melengkapkan perancangan, anda mula menyedari dan mengenali kelemahan-kelemahan yang ada pada diri anda. Ini memudahkan anda mendapatkan pertolongan. Mintalah pertolongan daripada ibu-bapa,  guru dan juga rakan. Ingat, tidak ada rakan yang mahu membantu anda pada saat-saat akhir kerana mereka sendiri sibuk menelaah pelajaran bagi menghadapi peperiksaan.


Matlamat pengukur kejayaan

Matlamat tidak tercapai dengan angan-angan atau impian kosong. Ia perlu disusuli dengan tindakan. Kejayaan besar yang diimpikan esok hari adalah himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang diraih setiap hari. Pengukur kepada kejayaan adalah matlamat yang dirancang. Sekiranya anda melakukan tindakan dan menyelesaikan tugas seperti yang dirancang, anda dikatakan sebagai seorang yang berjaya. Hari demi hari tanpa anda sedari, anda mendaki puncak kejayaan yang lebih besar dan bermakna. 




Sekarang pastikan matlamat anda tidak begitu kecil sehingga ia tidak mempunyai apa-apa makna dan tidak pula begitu besar sehingga anda rasa mustahil bagi mencapainya.
Tetapkan satu matlamat yang anda begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh bagi merealisasikannya.






Satu matlamat yang anda yakin tanpa keraguan anda dapat melakukannya!





No comments:

Post a Comment