TAHUN BARU ISLAM 1435 HIJRAH



AWAL MUHARRAM



Kita sering terdedah dengan sambutan awal tahun iaitu pada 1 hari bulan Januari setiap tahun. Acapkali kita lihat suasana ceria dan kemeriahan yang berlaku pada malam awal tahun. Kita juga sentiasa gembira dengan meraikan tahun baru dengan mempunyai azam, semangat dan impian yang ingin dicapai.



Namun, kelekaan ini juga membuatkan kita terlupa dengan sambutan sebenar tahun baru dalam Islam. Sambutan "Awal Muharram" yang dikatakan penghijrahan dan pengorbanan Nabi Muhammad S.A.W. membawa perubahan yang besar dalam kalangan umat Islam. Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharram tahun baru bagi Takwim Hijrah. Tahun Hijrah Rasulullah S.A.W. dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah. 



Sambutan di Malaysia dapat kita lihat dengan suasana yang penuh kesyukuran dan kerahmatan kepada Allah S.W.T.. Selain itu, kita juga disunatkan untuk membawa doa akhir dan awal tahun, sebelum dan selepas waktu maghrib. Diharapkan segala amal perbuatan kita sentiasa diterima oleh Allah S.W.T. dan kita senantiasa berubah ke arah kebaikan. 



Kalau ditanya saya apakah azam tahun baru saya kali ini? Pastinya saya mahukan perubahan yang drastik dalam kehidupan ini. Perubahan dari segi perwatakan, perlakuan, peribadi dan pergaulan hidup untuk berdepan dengan pelbagai jenis ragam manusia. Saya juga akan sentiasa bersedia dalam menghadapi tekanan dan ujian yang mendatang disamping akan mempertingkatkan ibadah serta amalan saya kepada Allah S.W.T..


SALAM MAAL HIJRAH 1435



ASSALAMUALAIKUM...


Tergerak hati saya untuk menukar wajah blog ini kepada luahan isi hati saya.


Pertamanya, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dikurniakan kehidupan yang sangat sempurna bagi diri saya. Saya bersyukur kerana hingga ke masa, saat dan detik ketika ini, saya masih lagi mampu bernafas dengan suasana udara yang segar serta sihat tubuh badan. Saya bersyukur kepada Allah kerana sentiasa memberi saya peluang dan ruang untuk saya melakukan ibadah kepadanya dengan sempurna.


Kedua, saya tergerak hati untuk melihat dan menulis semula blog ini adalah kerana saya merasakan bahawa terasa kekosongan dalam kehidupan saya di samping mempunyai masa yang terluang untuk kembali ke dunia ini. Terus-terang saya katakan, kekosongan yang dimaksudkan adalah tiada siapa yang sudi untuk berhubung dengan saya samada melalui telefon (mesej atau telefon), email, ataupun laman-laman sosial seperti facebook, twitter, wechat, whatsapp, line, kalkao talk, dan viber (antara laman sosial yang saya gunakan sekarang). Ini mungkin kerana cara kehidupan saya sudah pun berbeza. 


Jika dahulu, semasa saya di Sekolah Menengah, saya dikelilingi rakan-rakan yang sentiasa ada untuk bersama-sama belajar bersungguh-sungguh untuk peperiksaan SPM. Terkini, saya baru sahaja tamat belajar di peringkat IPTA sebagai pelajar diploma. Seperti yang sedia maklum, kehidupan saya di IPTA agak sibuk dengan hal-hal pelajaran, esaimen, ujian, kuiz serta pembentangan untuk melengkapkan pengajian saya selama 2 tahun setengah. Selain itu, saya juga bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti berpersatuan dalam universiti itu. Ini kerana, minat saya untuk menghadiri dan mengadakan pelbagai jenis program yang menarik dan sesuai untuk pelajar-pelajar lain. Pada masa itu juga, anda dapat melihat bahawa kesibukkan saya menjadi penghalang saya untuk mengarang dan menulis kehidupan saya dalam blog ini. 



Seterusnya, antara faktor saya untuk menulis blog ini adalah kerana saya tidak mahu untuk terus hidup tanpa ada sesiapa yang mahu mendengar tentang kehidupan sebenar saya ini. Saya mengandaikan bahawa andalah yang sudi untuk mengetahui perjalanan liku-liku kehidupan saya. Saya berharap anda sentiasa sokong dan memberikan semangat yang positif untuk saya terus hidup. Selain keluarga, guru, rakan-rakan, dan sesiapa yang mengenali saya, anda juga sebahagian kenalan daripada kehidupan saya.




Apa yang saya ingin sampaikan sebelum saya memulakan untuk menulis blog, ini adalah sebahagian daripada kehidupan saya. Saya mungkin akan melebihkan untuk bercerita mengenai si dia, kerana si dialah yang membuatkan kehidupan saya ceria selalu.